Kemahiran Bahasa meliputi kemahiran mendengar, bertutur, membaca, dan menulis. Kemahiran Bahasa ini merupakan teras kepada penguasaan bahasa baku.
1. Kemahiran Mendengar merujuk kepada keupayaan murid mendengar dengan teliti dan memahami perkara yang didengar dalam pelbagai situasi pengucapan seperti soal jawab, perbincangan, ucapan, lakonan, dan temu bual.
2.Kemahiran Bertutur merujuk kepada keupayaan murid menyampaikan maklumat, pendapat, perasaan, serta idea yang kritis dan kreatif secara lisan dengan sebutan dan intonasi yang betul secara sopan. Penekanan diberikan kepada penggunaan pengucapan yang menggunakan tatabahasa yang sesuai.
3.Kemahiran Membaca merujuk kepada keupayaan murid membaca dengan sebutan, intonasi, jeda, dan kelancaran yang betul. Penekanan perlu diberikan pada aspek pemahaman dan penaakulan pelbagai bahan ilmu dan sastera secara kritis dengan menggunakan pelbagai teknik bacaan.
4.Kemahiran Menulis merujuk kepada keupayaan murid menghasilkan pelbagai jenis penulisan kreatif yang berkaitan dengan ilmu pengetahuan dan pengalaman peribadi dengan menggunakan ayat yang gramatis, tanda baca dan ejaan yang betul, serta tulisan yang jelas dan kemas.