Penulisan Karangan Fakta

Kaedah Penulisan Isi, Bahasa dan Pengolahan

Nurul Hidayah Binti Saad
D20171077711
Prof.Madya Dr.Adenan Ayob,
Penyelaras dan Pensyarah Kursus BMP3093

Pengenalan image
Untuk penulisan sebuah karangan, murid-murid perlu menulis :
1. Pendahuluan
2 .Isi
3. Penutup

Bagi memudahkan murid-murid membina karangan dan membantu untuk membina karangan dengan baik, maka murid-murid boleh menggunakan teknik formula bagi pembinaan karangan seperti :

1.Pendahuluan- Formula 'SILA'

S = Skop umum
I = Isi tajuk
L =Lapor kesan
A =Ambil semula kehendak soalan

2. Isi - Formula ' THCP'

T = Ayat Topik (terdiri daripada DUA Frasa)
H = Huraian topik
C= Contoh
P = Penegasan

3. Penutup/Kesimpulan - Formula 'RCAH'

R = Rumusan keseluruhan
C = Cadangan umum
A = Amaran peringatan yang bakal berlaku
H = Harapan penulis terhadap isu.



Kaedah penulisan bahasa

Bahasa amat memainkan peranan penting dalam menghasilkan sebuah karangan yang baik atau cemerlang.

Learn More

Kaedah Pengolahan

Karangan yang baik haruslah diolah dengan mengembangkan isi iaitu menghuraikannya sambil mengemukakan bukti atau contoh yang sesuai

Learn More

Kaedah Penulisan Isi

Isi perlu menepati tajuk, disusuli dengan huraian dan contoh, isi tidak berulang serta isi logik dan jelas.

Learn More

Karangan yang baik

Mari kita tonton video ini.

Video ini memaparkan langkah -langkah bagi menghasilkan penulisan karangan yang baik.


Sampel karangan fakta


Contoh soalan:

Industri kraf tangan yang wujud di negara Malaysia berpotensi untuk dimajukan. Tulis satu rencana tentang usaha-usaha yang harus dilakukan untuk memajukan industri kraf tangan.

Rangka Jawapan imageRangka Jawapan image
Tema : Indusri Kraf Tangan
Tugasan : Usaha-usaha Memajukan
Format : Rencana

Pendahuluan
  • Satu cabang seni yang unik dan mempunyai nilai yang tersendiri
  • Kepopularan kian terhakis ditelan zaman- hidup segan mati tak mahu
  • Pelbagai langkah yang proaktif dan bersepadu perlu dilakukan
Isi-isi Penting
1. Kerajaan mempromosikan barangan kraf tangan di mata dunia
  • Masyarakat masih kurang maklumat dan pengetahuan
  • Mengadakan promosi secara besar-besaran - majalah dan surat khabar memuatkan ruangan khas untuk kraf tangan negara- pertandingan membuat pameran kraf tangandi peringkat kebangsaan.
  • Tidak bersikap melepaskan batok di tangga
  • Kerajaan memainkan peranan yang lebih dominan
2. Pengusaha perlu kreatif dan inovatif menghasilkan kraf tangan
  • Pengguna berminat dengan barangan yang mengikut perkembangan semasa
  • Mempelbagaikan hasil barangan kraf tangan agar lebih menarik
  • Pengguna akan rambang mata untuk membuat pilihan barangan
  • Kreativiti pengusaha juga memberikan impak yang besar dalam memajukan industri
3. Industi kraf tangan perlu diberi bantuan oleh kerajaan
  • Pengusaha tempatan kekurangan modal
  • Memberikan pinjaman modal bagi pengusaha yang ingin meluaskan sayap pengusahaan kraf tangan
  • Pengusaha mempunyai keyakinan dan kegigihan untuk bersaing- pengeluaran berkualiti
  • Usaha tangga kejayaan
  • Dapat bersaing di peringkat kebangsaan
4. Latihan Kemahiran dan pendedahan awal diberikan
  • Kemahiran merupakan sesuatu yang perlu dipelajari
  • Golongan berkemahiran perlu mengajar dan mengembangkan kemahiran mereka kepada masyarakat
  • Kemahiran kraf tangan dapat dikembangkan dan diperluas
  • Kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya
Penutup

  • Lambang kekayaan seni budaya masyarakat Malaysia- mempunyai nilai-nilai estetika yang perlu dipertahankan - tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas
  • Dimajukan dengan kerjasama daripada semua pihak
  • Industri kraf tangan akan terus maju seiring dengan pembangunan negara daan sekali gus menarik minat pelancong untuk bertandang ke negara kita

Industri Kraf Tangan

Mari kita tonton video ini.

Video ini akan menambahkan pengetahuan murid tentang industri kraf tangan di Malaysia.

                                                             Usaha-usaha untuk Memajukan Industri Kraf Tangan

           Tidak dapat dinafikan bahawa industri kraf tangan merupakan satu cabang seni yang unik dan mempunyai nilai yang tersendiri di negara Malaysia. Tambahan pula, barangan yang dihasilkan melalui industri kraf tangan juga menjadi lambang sesuatu negeri dan tradisi seperti wau yang terkenal di Kelantan dan anyaman tikar di Sarawak. Walau bagaimanapun, kepopularan tersebut kian terhakis ditelan zaman di negara kita ibarat hidup segan mati tak mahu. Kesibukan mengejar kekayaan dan kerjaya telah menyebabkan indutri tradisonal ini dipinggirkan. Pepatah Melayu ada menyatakan kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan. Oleh itu, pelbagai langkah yang proaktif dan bersepadu perlu dilakukan supaya industri kraf tangan negara terus hidup subur sebagai lambang kebudayaan negara Malaysia.

        Usaha yang paling utama untuk memajukan industri kraf tangan ialah pihak kerajaan haruslah mempromosikan barangan kraf tangan di mata dunia secara bijak. Hal ini membawa konotasi bahawa masyarakat seantero dunia masih kurang maklumat dan pengetahuan tentang kraf tangan negara Malaysia yang mempunyai keunikan yang tersendiri. Dengan itu, pihak kerajaan yang bertanggungjawab haruslah mengadakan promosi secara besar-besaran supaya warga asing dapat mendalamkan maklumat dan pengetahuan tentang kraf tangan masyarakat Malaysia. Sebagai tamsilnya, majalah, internet, dan surat khabar boleh memuatkan ruangan khas untuk kraf tangan negara. Selain itu, pertandingan membuat kraf tangan dan pameran kraf tangan di peringkat kebangsaan boleh dijalankan setiap tahun supaya setiap orang dapat kenal akan kraf tangan kerana peribahasa ada menyatakan kalau tak kenal maka tak cinta. Dengan itu, pihak kerajaan yang bertanggungjawab haruslah menggelakkan sikap yang seperti melepaskan batok di tangga. Secara umumnya, pihak kerjaan mestilah memainkan pernan yang lebih dominan dalam mempromosikan barangan kraf tangan.

            Selain pihak kerajaan, pengusaha kraf tangan perlulah kreatif dan inovatif untuk menghasilkan pelbagai kraf tangan yang unik dan moden. Hal ini berpunca daripada pengguna berminat dengan barangan yang mengikut perkembangan semasa. Oleh hal yang demikian, pengusaha haruslah mempelbagaikan hasil barangan kraf tangan agar lebih menarik perhatian pengguna. Misalnya, kraf tangan daripada buah kelapa dan buluh dijadikan tempat meletak surat dan sebagainya yang boleh dijadikan barang hiasan yang menarik dan cantik. Di samping itu, pengusaha kraf tangan juga haruslah memberikan tawaran harga kepada pengguna. Natijahnya, pengguna akan mudah mendapatkan barangan yang pelbagai pilihan. Dengan itu, pengguna akan rambang mata untuk membuat pilihan barangan yang seterusnya boleh memajukan industri ini apabila permintaannya meningkat. Tegasnya, kreativiti pengusaha juga memberikan impak yang besar dalam memajukan industri kraf tangan di Malaysia.

         Langkah yang seterusnya ialah industri kraf tangan perlu diberi bantuan oleh pihak kerajaan dari segi dana atau modal. Hal ini disebabkan pengusaha tempatan kekurangan modal untuk menjalankan industri kraf tangan yang memerlukan perbelanjaan mengurus yang besar. Dalam konteks ini, pihak kerajaan harus memberikan pinjaman modal bagi pengusaha yang ingin meluaskan sayap pengusahaan kraf tangan mereka. Sementara itu, pihak kerajaan juga mestilah mencari pasaran di peringkat global dengan mengadakan kempen-kempen, pakej-pakej pelancongan dan percutian di Malaysia. Sebagai impaknya, hal ini akan mengakibatkan pengusaha tempatan mempunyai kegigihan untuk bersaing dengan pengusaha luar negara. Tegasnya, orang tua-tua pernah berkata bahawa usaha tangga kejayaan dan wajiblah pengusaha kraf tangan percaya bahawa mereka dapat bersaing di peringkat kebangsaan.

            Latihan kemahiran dan pendedahan awal kraf tangan juga diberikan kepada pengusaha kraf tangan juga merupakan salah satu langkah proaktif. hal ini demikian kerana kemahiran merupakan sesuatu yang perlu dipelajari dan tenaga pengajar bertauliah amat diperlukan dalam industri  kraf tangan. Oleh itu, pihak kerajan perlu mementingkan perkara ini dan sasaran utama mereka ialah generasi muda kerana pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara. Dengan itu, golongan berkemahiran perlu mengajar dan mengembangkan kemahiran mereka kepada dengan hati yang ikhlas. Sebagai contoh, kelas-kelas kemahiran boleh diwujudkan di desa dan bandar. Dalam pada itu, kemahiran ini juga boleh diterapkan dalam matapelajaran Seni di sekolah-sekolah supaya kraf tangan dapat diperkenalkan kepada generasi muda sejak awal. Pihak sekolah juga boleh menganjurkan pameran mengadakan pertandingan hasil kraf tangan di sekolah. Sebagai impaknya kemahiran kraf tangan yang unik tersebut dapat dikembangkan dan diperluas sehingga ke peringkat global. Perumpamaan ada mengatakan bahawa kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya perlu dijadikan pegangan mencapai kejayaan. Sesungguhnya, masyarakat akan berminat untuk menceburi  industri ini yang berpotensi untuk berjaya. 

             Kesimpulannya, kraf tangan yang melambangkan kekayaan seni budaya masyarakat Malaysia mempunyai nilai-nilai estetika yang perlu dipertahankan. Oleh itu, industri kraf tangan perlulah dimajukan dengan kerjasama daripada semua pihak kerana peribahasa Melayu ada mengatakan bahawa bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat yang perlu dijadikan pedoman dalam perkara ini. Segenap masayarakat perlulah berganding bahu menjayakan barangan keluaran negara dengan sikap berat sama dipikul, ringan sama dijinjing. Sebagai hasilnya, industri kraf tangan akan terus maju seiring dengan pembangunan negara dan sekai gus menarik minat pelancong untuk bertandang ke negara kita. 

Kemahiran Bahasa meliputi kemahiran mendengar, bertutur, membaca, dan menulis. Kemahiran Bahasa ini merupakan teras kepada penguasaan bahasa baku.

1. Kemahiran Mendengar merujuk kepada keupayaan murid mendengar dengan teliti dan memahami perkara yang didengar dalam pelbagai situasi pengucapan seperti soal jawab, perbincangan, ucapan, lakonan, dan temu bual.

2.Kemahiran Bertutur merujuk kepada keupayaan murid menyampaikan maklumat, pendapat, perasaan, serta idea yang kritis dan kreatif secara lisan dengan sebutan dan intonasi yang betul secara sopan. Penekanan diberikan kepada penggunaan pengucapan yang menggunakan tatabahasa yang sesuai.

3.Kemahiran Membaca merujuk kepada keupayaan murid membaca dengan sebutan, intonasi, jeda, dan kelancaran yang betul. Penekanan perlu diberikan pada aspek pemahaman dan penaakulan pelbagai bahan ilmu dan sastera secara kritis dengan menggunakan pelbagai teknik bacaan.

4.Kemahiran Menulis merujuk kepada keupayaan murid menghasilkan pelbagai jenis penulisan kreatif yang berkaitan dengan ilmu pengetahuan dan pengalaman peribadi dengan menggunakan ayat yang gramatis, tanda baca dan ejaan yang betul, serta tulisan yang jelas dan kemas.

Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu image

Penutup

Semoga murid-murid mendapat manfaat setelah melayari laman sesawang Penulisan Karangan ini. Murid-murid akan lebih memahami dan dapat menambah pengetahuan mengenai penulisan karangan fakta ini. Selamat maju jaya!

Penghargaan

Setinggi-tinggi penghargaan diberikan kepada Pensyarah Kursus BMP3093 iaitu Prof. Madya Dr. Adenan Ayob yang telah memberi tunjuk ajar bagi menyiapkan laman sesawang ini. Terima ksih juga kepada rakan-rakan, ibu bapa yang memberi bantuan dan kata-kata dorongan . Terima kasih semua.

Nama: Nurul Hidayah Binti Saad
Umur : 22 Tahun
Pendidikan : ISMP Bahasa Melayu
Asal : Selama, Perak


Admin image
I BUILT MY SITE FOR FREE USING